Itulah yang diungkapkan oleh sebahagian alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) Chapter Sarawak (AURAS) ketika berkunjung ke U-Assist. Lawatan ke U-Assist ini adalah sebahagian daripada rangka kerja bagi Program Alumni Homecoming: AURAS yang bermula pada 23 hingga 26 Jun 2023.
Ketika ditemubual, Presiden AURAS, Chi Poh Yung berkata, beliau sangat kagum melihat perkembangan dan kemudahan yang disediakan oleh U-Assist. “Saya teruja melihat fasiliti di U-Assist dan percaya UUM dapat meningkatkan tahap kepuasan pelajar terhadap kualiti perkhidmatan yang ditawarkan di U-Assist”, ujar beliau.
Jacques Jagang yang hadir bersama suaminya yang mana kedua-dua mereka adalah Alumni UUM pula menekankan kehadiran AURAS ke Universiti ini adalah bagi tujuan memberi sumbangan dan motivasi kepada anak-anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di kampus Sintok. Menurutnya lagi, fasiliti yang disediakan di U-Assist sangat mengagumkan hasil daripada penerapan digitalisasi dan kecanggihan infrastruktur teknologi maklumat.
U-Assist sebagai sebuah pusat perkhidmatan sokongan pelajar turut mendapat pujian daripada Hasimah Brahim yang menamatkan pengajian pada tahun 1999. “Cara staf U-Assist mengendalikan servis di setiap kaunter sangat sistematik dan tersusun sekaligus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan. “Saya telah bekerja dengan tujuh syarikat sebelum bersara dan tidak pernah melihat perkhidmatan yang disediakan di bawah satu bumbung seperti U-Assist ini dan ia cukup baik,” tambah Rosmawati Mohamad Sahari yang mula melanjutkan pengajiannya di UUM pada tahun 1988.
Pengarah U-Assist, Suraya Deraman amat berbesar hati menerima lawatan daripada delegasi AURAS dan berharap lawatan seumpama ini dapat diperbanyakkan lagi untuk mengeratkan kerjasama dengan para alumni UUM dari serata dunia.
AURAS begitu komited dalam merencana dan melaksanakan pelbagai aktiviti serta program yang melibatkan alumni bagi mengekalkan hubungan yang konsisten di antara Alumni dan pihak pengurusan universiti.