U-Assist baru-baru ini telah menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Pusat Kerjaya, Universiti Teknologi Malaysia (UTMCC), Dr. Che Rozid Mamat. UTMCC merupakan pusat yang bertanggungjawab dalam menghasilkan graduan yang memiliki kemahiran kerjaya bagi memenuhi keperluan industri.
Pengarah UTMCC menyifatkan lawatan ini sebagai permulaan bagi hubungan kerjasama yang lebih komprehensif dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan U-Assist. Dr. Che Rozid menjelaskan perancangan dan penyampaian perkhidmatan di U-Assist bersifat dinamik dan responsif terhadap keperluan pelajar Universiti.
“Secara umumnya, inisiatif atau pendekatan yang diambil U-Assist dalam pengurusan hal ehwal pelajar sangat sistematik dan mengagumkan,” ulas beliau ketika ditemubual.Dalam aspek ini, beliau menyifatkan U-Assist seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang mampu menyediakan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung.
Perkhidmatan yang ditawarkan di U-Assist memberi ruang untuk memenuhi keperluan pelanggan dan penambahbaikan kualiti dalam keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. Menurutnya lagi perkhidmatan di U-Assist mampu menjadi inspirasi terbaik yang boleh diaplikasikan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang jauh di selatan.
Beliau juga menyatakan hasratnya untuk menjalin hubungan kerjasama di antara U-Assist dan UTM bagi memperkasakan pembangunan akademik di peringkat Universiti. Diharapkan dengan adanya sesi lawatan ini akan menjadi momentum untuk membentuk kerjasama terutamanya dalam program-program kerjaya yang membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan.