Seramai 60 orang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai program C.H.A.M.P (Challenging Hope and Motivating Progress) Fun Day yang dianjurkan U-Assist baru-baru ini. Program ini bertujuan untuk melatih mahasiswa dalam membentuk personaliti yang menarik, berkeyakinan dan memupuk semangat bekerjasama dalam kumpulan.
Tun Amir Adlan Tun Mohamad Ammar, wakil pelajar daripada Inapan Siswa (INASIS) Petronas berpendapat program yang dianjurkan oleh U-Assist ini sangat bagus dan menarik kerana mereka berpeluang mengenali rakan-rakan yang baru daripada latar belakang yang berbeza.
“Nilai yang paling berharga ialah saya berpeluang melihat kualiti kepimpinan yang berbeza dalam setiap kumpulan yang mengambil bahagian dalam program ini,” tambah beliau lagi.
Ketika ditanya mengenai pendapatnya mengenai U-Assist, Tun Amir Adlan berkata U-Assist sentiasa memberikan perkhidmatan yang baik, strategik dan efisien kepada pihak berkepentingan.
Nur Irdina Mohamed Amri, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat pula bersetuju bahawa program ini memainkan peranan yang sangat penting dalam mengurangkan tahap stress pelajar tatkala musim peperiksaan hampir tiba.
Bagi Olivia Enuja Anak Jimmy Aran, program seperti ini dapat menyatukan peserta berbilang kaum dan menjadi tali perpaduan. Manakala, Chan Wen Bang menambah penganjuran aktiviti bercorak outdoor dan indoor ini sememangnya menjadi tunjang dalam pembangunan jati diri pelajar dan membentuk semangat bekerja dalam kumpulan.
“Pihak universiti harus mengambil inisiatif dengan menganjurkan program-program yang menarik seperti ini bagi menangani isu tekanan emosi dalam kalangan mahasiswa,” jelas Saranya Rajasegarandaripada Inasis Grantt ketika ditemubual.
Rata-rata semua peserta yang ditemubual bersetuju bahawa program anjuran U-Assist ini membantu mengeratkan tali silaturahim antara staf dan pelajar UUM.
Pengarah U-Assist, Suraya Deraman merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Huzaidy Hj. Hussain atas sokongan beliau terhadap program ini. “Terima kasih kepada semua sekretariat yang telah bertungkus lumus dalam membantu menjayakan program ini.” tambah beliau lagi.
Dalam ucapan penutupnya, Huzaidy berkata, “Program seperti ini sangat penting untuk membina keyakinan diri dalam menghadapi urusan seharian.” Beliau turut berbesar hati menyampaikan hadiah kepada peserta-peserta yang terlibat.