Selepas 10 tahun menabur bakti di U-Assist, Penolong Pegawai Tadbir Kanan, Noor Aina Norrdin merangkap Ketua Unit Akademik U-Assist secara rasminya berhijrah ke Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) pada 1 Ogos yang lalu.
Majlis serah terima tugas diadakan diantara Noor Aina dan penggantinya, Norhanil Hekmah Rosli dari UUMIT disaksikan oleh Pengarah U-Assist, Suraya Deraman dan Ketua-Ketua Unit. Dalam ucapan ringkas, Noor Aina mengucapkan terima kasih kepada Pengarah dan semua staf U-Assist diatas kerjasama dan sokongan kepada beliau selama ini.
“Warga kerja U-Assist adalah yang terbaik sepanjang saya bekerja di UUM dan saya juga teruja untuk pengalaman kerjaya di tempat yang baharu,” ulas Noor Aina. Penghargaan juga ditujukan kepada rakan-rakan seperjuangan kerana banyak memberikan teguran, pandangan, serta perkongsian maklumat. “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah U-Assist yang ikhlas memberi tunjuk ajar dalam segala hal pentadbiran.” tambahnya lagi
Majlis diteruskan dengan sedikit ucapan dan perkongsian daripada ketua-ketua Unit yang hadir.“Terima kasih atas segala sumbangan khidmat bakti yang telah dicurahkan selama bersama-sama berkhidmat di U-Assist,” Safinas Hanoum Omar Anwar, Pegawai Psikologi U-Assist dalam ucapan ringkasnya.
Memulakan tugas bermula 6 Mei 2013, Noor Aina antara staf terawal yang menjadi tunggak U-Assist sejak penubuhannya di Universiti Utara Malaysia (UUM).Pegawai Kewangan Unit Tajaan & Kewangan, Nazila Nazren turut menyifatkan Noor Aina Norrdin sebagai seorang staf yang berdedikasi dan rakan yang banyak berjasa di U-Assist.
Sementara itu, Suraya menzahirkan penghargaan kepada Noor Aina, “Kepada Aina atau mesra dipanggil sebagai Nana, ini merupakan peluang penghijrahan untuk merasai laluan perkembangan kerjaya yang lebih baik.” Beliau turut mengalu-alukan kedatangan Norhanil Hekmah ke dalam keluarga besar U-Assist.
Seluruh staf dan pengurusan U-Assist mendoakan kejayaan yang lebih besar buat Noor Aina Norrdin di SOC dan mengucapkan selamat bertugas kepada Norhanil Hekmah.