Adat pertemuan pasti ada perpisahan. Begitulah yang boleh digambarkan sepanjang Majlis Sanjungan Budi U-Assist yang diadakan baru-baru ini.
Majlis ringkas penuh makna ini adalah sebagai tanda penghargaan U-Assist kepada Noor Aina Norrdin, Penolong Pegawai Tadbir Kanan yang juga Ketua Unit Akademik U-Assist serta empat orang pelajar yang berjaya menamatkan sesi latihan praktikum mereka bermula 3 April 2023 hingga 3 Ogos 2023.
U-Assist turut berbesar hati menzahirkan penghargaan kepada Huzaidy Hj. Hussain, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang akan mula bersara pada 10 Ogos 2023.
Pengarah U-Assist, Suraya Deraman dalam ucapannya mengucapkan jutaan terima kasih kepada sumbangan, komitmen dan usaha yang telah diberikan oleh Noor Aina dan pelajar-pelajar praktikum sepanjang berkhidmat di U-Assist. Suraya turut menghargai sokongan dan keprihatinan Huzaidy selaku Pengarah HEP dalam membantu U-Assist melancarkan perkhidmatan selama ini.
Bagi Huzaidy pula, beliau berkongsi harapan serta nasihat kepada semua warga kerja U-Assist agar terus komited dan berdisiplin dalam melaksanakan pekerjaan. Dalam ucapannya juga beliau mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Noor Aina yang telah berhijrah ke Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) dan pelajar-pelajar praktikum yang berjaya menamatkan latihan industri mereka.
Bagi pelajar-pelajar praktikum mereka berasa amat bertuah kerana telah diterima untuk menjalani latihan praktikum di U-Assist bagi menimba ilmu dan pengetahuan sebagai langkah persediaan menghadapi alam pekerjaan.
“Walaupun menghadapi beberapa kekangan, dengan tunjuk ajar dan bantuan daripada Ketua-Ketua Unit, dapat kami lakukan tugasan dengan baik,” sedikit coretan pengalaman pelajar praktikum, Narshini Krishna Kumar.
Mereka turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua kakitangan U-Assist kerana telah memberi kerjasama yang amat baik kepada mereka semua sepanjang tempoh praktikum.
Sementara itu, Noor Aina dalam ucapan perpisahannya mengambil peluang menzahirkan terima kasih kepada Pengarah dan seluruh warga kerja U-Assist sepanjang 10 tahun perkhidmatannnya.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada semua pihak yang diraikan.