Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menzahirkan penghargaan kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) kerana menyediakan platform untuk membantu urusan pelajar termasuk PTPTN.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid ketika ditemubual berkata dengan adanya pusat perkhidmatan pelajar seperti U-Assist ini dapat menghubungkan pelajar dengan PTPTN.
“Ini merupakan satu inisiatif yang bagus oleh pihak pengurusan UUM,” ujarnya. Menurut Ahmad Dasuki lagi, pelajar-pelajar boleh mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan PTPTN di U-Assist. “Apabila pelajar-pelajar menghadapi masalah, inilah tempatnya untuk mereka datang mendapatkan maklumat lebih lanjut,” tambahnya lagi.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada UUM atas inisiatif yang disediakan. Ujarnya, “Adanya U-Assist pada masa yang sama dapat membantu pihak PTPTN dan juga warga UUM mendapatkan informasi yang lebih jelas, tepat dan terkini,” kata Ahmad Dasuki.
Beliau bersama delegasi mengadakan kunjungan ringkas ke U-Assist selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan PTPTN di Balai Tamu, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin UUM.
Satu taklimat ringkas diberikan oleh Pembantu Tadbir Kanan U-Assist, Parames Sivam mengenai pengoperasian perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh U-Assist selain dibawa meninjau kaunter-kaunter seperti Tajaan Kewangan dan Pelajar, Akademik dan Visa.
Turut hadir mengiringi adalah M Shahadat Ali Nordin, Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD), Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), UUM.