Kewujudan U-Assist sebagai One Stop Center menjadi inspirasi kepada para pelawat yang hadir berkunjung tidak kira dari dalam mahupun luar negara.
Tidak ketinggalan dalam menyatakan rasa kagum dengan usaha Universiti Utara Malaysia (UUM) menyediakan satu pusat perkhidmatan yang memfokuskan kepada para pelajarnya ialah Naib Presiden Hal Ehwal Pelajar dan Perhubungan Korporat Universiti Thaksin, Thailand, Prof. Dr. Siraya Sitthisarn.
Beliau bersama delegasi Malaysia-Thailand (MasThai) University Games 2023 sempat mengadakan kunjungan ringkas ke U-Assist telah dibawa melawat kaunter-kaunter perkhidmatan yang beroperasi dan diberikan taklimat oleh Penolong Pegawai Tadbir U-Assist, Norhanil Hekmah Rosli yang juga Ketua Unit Akademik.
Ketika ditemubual, Prof. Dr. Siraya berkata dengan adanya U-Assist, pelajar-pelajar antarabangsa yang menghadapi kesulitan mengenai urusan visa, boleh datang dan mendapatkan maklumat dan konsultansi daripada pihak universiti.
Kemudahan One Stop Center ini menurutnya lagi sangat bagus. “Saya terinspirasi dengan kemudahan-kemudahan yang ada di U-Assist dan akan cuba membawa idea dan konsep ini untuk dilaksanakan di sana,” ujarnya.
Turut hadir mengiringi adalah Pengarah Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), Prof. Dr. Arpah Abu Bakar dan timbalannya, Mohd Khairy Mukhtaruddin.