Kekalkan standard sedia ada dan terus jana idea bagi menambah jenis perkhidmatan kepada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM). Begitulah saranan yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM yang baharu, Muhammmad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi.
U-Assist katanya lagi sudah dikenali oleh warga kampus sebagai salah satu pusat rujukan yang menjadi penghubung antara pelajar dan waris dengan semua Pusat Tanggungjawab yang ada.
Muhammad Iskandar Zulkarnain turut menegaskan peranan yang dimainkan oleh U-Assist adalah sangat besar kerana secara tidak langsung membantu mempromosikan universiti kepada organisasi-organisasi luar yang datang berkunjung ke kampus Sintok.
“U-Assist perlu membantu universiti dengan sumbangsaran idea terutama dalam melaksanakan langkah-langkah penjimatan seperti membawa masuk perkhidmatan-perkhidmatan untuk dipusatkan di bawah satu bumbung,” ujarnya lagi.
Bersempena dengan Tahun Melawat UUM 2024 beliau menjangkakan U-Assist akan terus menjadi salah satu lokasi tumpuan bagi pelawat-pelawat luar. “Konsep Educational Tourism perlu dimanfaatkan oleh semua pihak di UUM termasuk U-Assist dalam membantu universiti mengetengahkan konsep perkhidmatan kepada mereka di luar sana.” jelas Muhammad Iskandar Zulkarnain
Beliau berkata demikian dalam satu sesi kunjungan ke U-Assist sebagai tanda perkenalan selepas dilantik sebagai Pengarah HEP yang baharu. Beliau disambut oleh Pengarah U-Assist, Suraya Deraman sebelum diberi taklimat ringkas sambil melawat keseluruhan pengoperasian perkhidmatan U-Assist. Turut hadir Ketua-ketua Unit U-Assist.