U-Assist, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima lawatan tidak rasmi daripada delegasi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Mat Isa baru-baru ini.
Beliau meluangkan masa singgah sebentar untuk melihat kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan di U-Assist.
Kehadiran beliau disambut mesra oleh Pengarah U-Assist, Suraya Deraman serta ketua-ketua unit.
Lawatan dimulakan dengan taklimat ringkas berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan serta demonstrasi penggunaan mesin MyQ. Beliau bersama delegasi dibawa meninjau pengoperasian kaunter-kaunter perkhidmatan sambil diberi penerangan oleh Suraya.
Beliau turut mengajukan beberapa soalan kepada kepada petugas-petugas kaunter dan mendapatkan maklum balas secara lebih jelas mengenai proses kerja.
Selain itu, Abdul Aziz tertarik dengan kewujudan aplikasi UUM Student yang banyak membantu memudahkan pelajar membuat permohonan akademik dan lain-lain lagi.
“Saya dapati ianya sangat menarik dan mesra pengguna dalam memberikan kemudahan kepada pelajar. Konsep sebegini perlu diwujudkan di semua Institusi Pengajian Tinggi di seluruh negara. Terima kasih dan tahniah UUM,” ujar Abdul Aziz.