Keterujaan wakil pelajar dari Institut Kemahiran MARA (IKM) Sungai Petani, Kedah dengan fasiliti dan suasana kondusif di U-Assist Universiti Utara Malaysia (UUM) jelas dilihat ketika berkunjung ke U-Assist baru-baru ini.
Lawatan Muhibah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IKM Sungai Petani ke U-Assist diketuai oleh Timbalan Pengarah Khidmat Pengurusan & Hal Ehwal Pelajar (HEP), Yuslan Syah Jusoh bersama ahli delegasi seramai 21 orang telah disambut oleh Pengarah U-Assist, Suraya Deraman.
Menurut Yuslan Syah, beliau yakin dan pasti bahawa dengan adanya U-Assist ini, ia akan memantapkan lagi sistem pentadbiran di UUM. “Saya berharap agar U-Assist UUM dijadikan sebagai penanda aras kepada institut-institut pengajian tinggi yang lain supaya dapat mewujudkan satu pusat perkhidmatan yang menggunakan konsep seperti di
U-Assist,” ujarnya lagi.
“Lawatan ke U-Assist adalah satu peluang yang baik untuk memberi pendedahan kepada mereka serta memperkenalkan idea-idea baru bagi membantu menambahbaik perkhidmatan kepada pelajar,” tambah Yuslan Syah.
Selain itu tujuan utama program ini dibuat adalah untuk memberi pendedahan kepada MPP IKM Sungai Petani melalui perkongsian ilmu dan pengalaman dari MPP UUM perihal yang berkaitan tugas dan peranan wakil pelajar Institusi Pengajian Tinggi di UUM.
Turut serta dalam lawatan ini adalah Siti Zubaidah Ahmad selaku Penyelaras MPP IKM Sungai Petani.