Berita & Gambar Oleh: Syamimi Mohd Zaini
Satu delegasi dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berkunjung ke U-Assist baru-baru ini. Kehadiran delegasi tersebut yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (HEP) UiTM, Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi disambut oleh Pengarah U-Assist, Suraya Deraman.
Mereka kemudian dibawa meninjau fasiliti dan keseluruhan pengoperasian kaunter-kaunter perkhidmatan yang terdapat di U-Assist. Turut mendapat perhatian Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili adalah satu sudut yang disediakan khas untuk kanak-kanak.
Kid’s Corner adalah satu inisiatif yang diperkenalkan di U-Assist pada tahun 2019 sebagai kemudahan kepada para pelajar yang sudah berkeluarga dan membawa anak-anak ketika datang mendapatkan perkhidmatan di kaunter.
Ketika ditemui, Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili berkata, “Perkhidmatan yang disediakan kepada pelajar dan kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM) begitu hebat. Hal ini boleh jadi contoh dan boleh kita ambil untuk meningkatkan perkhidmatan dan keberkesanan dalam pengurusan universiti.” Beliau turut mengucapkan syabas kepada U-Assist, “Semoga akan meningkat tinggi lagi usaha yang dibuat dan juga terbaik dalam memberikan perkhidmatan,” tambahnya lagi.
Bagi Prof. Madya Ts. Dr. Basharudin Abdul Hadi, beliau menzahirkan rasa kagum kerana UUM mempunyai satu business model yang baik bagi satu pusat perkhidmatan yang mampu membantu pelajar mendapatkan solusi yang cepat dan tepat kepada setiap cabaran yang dihadapi oleh pelajar. Beliau yang juga Timbalan Rektor (HEP), UiTM Cawangan Pulau Pinang turut mengucapkan tahniah kepada UUM kerana merealisasikan makna pelajar diperkasakan.
Kunjungan delegasi HEP UiTM ke U-Assist adalah bersempena program lawatan Penanda Aras ke UUM.