Berita oleh: Nurina Izzati Zulhairi (Pelajar On Campus Job UUM)
Gambar oleh: Hafiziah Diara Adnin Nuri (Pelajar On Campus Job UUM)
Momentum Bersama Pengarah Cetus Semangat Tahun Baharu
Satu perjumpaan sempena tahun 2024 telah diadakan di U-Assist dimulakan dengan bacaan Yasin.
Pengarah U-Assist, Suraya Deraman dalam ucapan tahun baharu telah menzahirkan harapan kepada semua kakitangan U-Assist termasuk rakan bersekutu dari Unit Visa, Pusat Hal Ehwal Kerjasama dan Antarabangsa (CIAC) dan UUMIT.
“Saya mengucapkan selamat tahun baharu dan terima kasih kepada semua yang telah memberikan komitmen yang cemerlang pada tahun lepas,” kata Suraya di awal ucapannya. Beliau menegaskan hasratnya untuk U-Assist terus mengekalkan kecemerlangan dalam perkhidmatan sebagai One Stop Centre pada tahun ini dan akan datang.
“Setiap orang perlu meningkatkan budaya kerja di kaunter supaya pemegang taruh berpuashati dengan perkhidmatan yang diberikan dan digalakkan untuk belajar pelbagai bahasa bagi memudahkan urusan dan dapat mewujudkan konsep mesra pelanggan. “Di samping itu juga, semua orang perlu peka dengan langkah penjimatan yang ditekankan oleh pihak Universiti seperti elektrik, air dan lain-lain kemudahan pejabat serta perlu berhemah dalam berbelanja,” tambahnya dalam sesi Momentum 2024: Bersama Pengarah U-Assist.
Suraya juga dalam ucapannya menekankan isu Covid-19 yang kini telah meningkat naik dan meninggalkan pesan terutamanya dari segi keselamatan bekerja dan kesihatan yang perlu diutamakan.
“Semua kakitangan terutama yang bertugas di kaunter perlu memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko jangkitan berlaku,” ujarnya lagi.
Di akhir ucapan, beliau mengajak semua staf di U-Assist untuk turut sama menjayakan Tahun Melawat UUM 2024 sempena ulangtahun 40 tahun penubuhan Universiti Pengurusan Terkemuka.