Berita & Gambar oleh: Syamimi Mohd Zaini
Kewujudan U-Assist Harus Dimanfaatkan Oleh Semua Pelajar UUM
Usaha Universiti Utara Malaysia (UUM) menyediakan kemudahan perkhidmatan setempat seperti U-Assist harus dimanfaatkan oleh semua pelajar. Pendapat itu dikongsikan pelajar mobiliti Program Psikologi Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Acheh Indonesia, Syarieya Lisma.
UUM yang menjulang konsep pengurusan terkemuka secara tidak langsung membantu pelajar-pelajarnya membiasakan diri berurusan semasa mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh pihak universiti.
Syarieya mengutarakan pandangannya ketika berkunjung ke U-Assist bersama rakan-rakan mobiliti dari UIN Ar-Raniry. Pelajar-pelajar UUM katanya lagi dapat menguruskan pengajian mereka lebih baik dengan adanya kemudahan seperti di U-Assist.
“Para pelajar tidak perlu pergi ke banyak lokasi contohnya Pusat Pengajian ketika ingin selesaikan masalah pengajian mereka kerana U-Assist ini sangat kompleks dengan pelbagai perkhidmatan disediakan.”
Pengarah U-Assist, Suraya Deraman bersama Pegawai dan Ketua-ketua Unit menyambut kehadiran mereka. Suraya kemudiannya memberi taklimat ringkas sambil membawa meninjau keseluruhan operasi perkhidmatan kaunter yang ditawarkan kepada seluruh warga kampus terutama kepada para pelajar UUM.
Turut berkongsi pandangan ialah Ahmad Kamal Maulana, Ketua Kelompok Psikologi (KKP International), UIN Ar-Raniry. Beliau tertarik dengan usaha UUM menyediakan perkhidmatan berteraskan digitalisasi teknologi.
“Seluruh aktiviti yang melibatkan pelajar telah diintegrasikan dan boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana jua lokasi dengan menggunakan telefon pintar.” jelas Ahmad Kamal.
Beliau turut menzahirkan harapan terhadap U-Assist dan UUM secara keseluruhannya. “Semoga terus memajukan teknologi, terutama dalam perihal digitalisasi teknologi dalam menyediakan pelayanan kepada para pelajar, lokal mahupun Antarabangsa,” ujarnya lagi.
Kunjungan delegasi UIN Ar-Raniry diakhiri dengan sesi bergambar dan menandatangani buku pelawat U-Assist.