Latihan industri yang dijalankan di U-Assist selama empat bulan cukup membantu dua orang pelajar praktikum Program Pengajian Kaunseling dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam membuat persediaan bagi menjalani kerjaya di lapangan suatu hari nanti.
Bagi Mohammad Hezaire Mohammad Yamin dan Aida Husna Hasri, pengalaman yang diperolehi ketika berada di U-Assist akan digunakan sebaik mungkin untuk menabur bakti kepada masyarakat di luar sana.
“Kesediaan semua staf di sini dalam membantu kami menjalankan tugas memberikan keyakinan untuk bekerja dan berhadapan dengan pelanggan yang datang,” jelas Mohammad Hezaire.
Pandangannya turut disokong oleh Aida Husna dengan menzahirkan harapan dan terima kasih kepada U-Assist kerana telah banyak menyediakan peluang dan pengalaman dalam pelbagai aspek dan sekaligus menjadikan mereka lebih bersedia untuk masuk ke alam kerjaya nanti.
“Banyak ilmu yang kami dapat semasa bertugas di sini antaranya bagaimana hendak berurusan di kaunter, pelaksanaan program dan menguruskan permohonan pelajar dalam penangguhan pengajian,” jelas beliau.
Selain dari mereka, U-Assist turut menerima tiga orang pelajar tahun akhir dari Inapan Siswa (INASIS) Petronas dan INASIS Sime Darby. Mohamad Sufian Mohamad Rozaini, Nurina Izzati Zulhairi dan Hafiziah Diara Adnin Nuri telah terpilih untuk menjalani tempoh perkhidmatan sebagai pelajar On Campus Job (OCJ) selama hampir empat bulan di U-Assist.
Ketiga-tiga mereka meluahkan rasa berterima kasih kepada Pengarah dan seluruh warga kerja U-Assist yang sentiasa memberi tunjuk ajar sepanjang tempoh berkerja.
Bagi Nurina Izzati, “Saya dan rakan-rakan bukan sahaja dapat menimba pengalaman berkhidmat bersama warga kerja UUM bahkan dalam tempoh yang singkat itu, berjaya mengasah kemahiran diri terutama dalam komunikasi, kerja berpasukan dan pengurusan empati.”
“Saya berpendapat dengan pendedahan terhadap budaya kerja yang positif membantu meningkatkan kecekapan interpersonal dan di U-Assist ini saya dapat melihat bagaimana pentingnya dalam memastikan kepuasan pelanggan dalam masa yang sama menjaga reputasi organisasi,” tambah Hafiziah Diara Adnin.
Nilai tambah yang diperolehi sangat berharga terutama pengalaman membantu menguruskan pemberian pelekat kenderaan pelajar kepada semua pemohon yang berjaya. “Selain itu saya turut diberi peluang untuk bertugas di Kaunter Informasi dan pengalaman ini membantu saya belajar bagaimana menguruskan pertanyaan-pertanyaan pelajar dan membantu mereka yang memerlukan perkhidmatan terutama dalam proses akademik, proses kutipan pasport di Unit Visa dan lain-lain,” jelas Mohamad Sufian.
Kelima-lima pelajar telah berjaya menamatkan tempoh latihan industri dan khidmat OCJ diraikan dalam Majlis Sanjungan Budi yang diadakan di U-Assist baru-baru ini. Dalam majlis tersebut, U-Assist turut menzahirkan penghargaan kepada Pembantu Operasi yang bertukar jabatan ke Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Mohamad Faizal Mohamad Hanapi.